PUTRAJAYA – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggunakan kecerdasan buatan (AI) bukan untuk tujuan pembangunan ekonomi bahkan menjadikan teknologi itu sebagai perkakas ketenteraan untuk melakukan kemusnahan.
Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan (SDSN) bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Jeffery D. Sachs berkata, Trump akan menyerang syarikat-syarikat terkemuka AI jika mereka tidak tunduk kepada kehendak Pentagon.
“AI sangat bagus untuk diagnostik, pembangunan ubat baharu, pendidikan dalam talian, perkhidmatan kerajaan, pertanian cekap, grid pintar, bandar yang sangat cekap dan pengangkutan awam, semuanya cemerlang.
“Tetapi apa yang AS lakukan? Ia mententerakan AI lebih pantas daripada yang kita lihat, jadi inilah strategi yang perlu diikuti oleh setiap negara.
“Perkara terakhir yang kita (AS) mahu lakukan ialah memilitarisasikannya, menggunakannya untuk kemusnahan,” katanya berucap pada Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri.
Pada 24 Disember tahun lalu, Pentagon mengumumkan sistem AI berasaskan keluarga model Grok akan digunakan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DoD) dalam inisiatif GenAI.mil.
Langkah itu selari dengan Pelan Tindakan AI yang diumumkan White House bagi meningkatkan kecekapan tugasan dan kesiapsiagaan peperangan.
Julai tahun lalu, kontrak bernilai AS$200 juta diberikan kepada Google, OpenAI, Perplexity dan xAI untuk menguji kemampuan model AI masing-masing bagi keperluan ketenteraan.
Sachs juga berkata, sekiranya lebih ramai pemimpin dunia seperti Anwar yang berani bersuara dan mengutuk serangan ganas rejim Israel dan kempen ketenteraan Trump terhadap Iran, nescaya dunia akan lebih aman.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri atas kata-kata penting, jelas, tajam dan benar itu, yang kami semua sangat bersyukur. Jika lebih ramai pemimpin dunia bersuara seperti anda, kita akan berdamai. Ini mungkin cabaran terbesar kami ialah kami menghadapi kesukaran untuk mengatakan kebenaran di dunia hari ini.
“Nampaknya kuasa yang kejam menjadikannya sangat sukar bagi pemimpin negara untuk mengatakan dengan begitu jelas, jujur dan penting apa yang baru sahaja dikatakan oleh Perdana Menteri anda,” katanya.
Selain itu, katanya, penganjuran forum anjuran KPT itu secara wacana intelektual dan perbincangan terbuka antara pemimpin kerajaan, pemimpin masyarakat sivil dan pegawai kerajaan tidak berlaku di AS.
“Di negara saya, kita tidak mempunyai ini (perbincangan terbuka). Kita tidak mempunyai wacana sekarang. Kita tidak mempunyai perbincangan. Kita mempunyai catatan sosial kebenaran. Itu sahaja.
“Jika anda mengatakan sesuatu yang bertentangan, ia tidak begitu mudah. Universiti-universiti akan dipotong bajet mereka. Pembalasan datang dengan cepat.
“Ia adalah persekitaran yang sangat kejam dan inilah sebenarnya bahaya besar kerana masalah yang kita hadapi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















