KUALA LUMPUR – Meskipun pengumuman pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) disambut baik namun lapan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak agar kerajaan menangani proses tersebut secara lebih telus dan muktamad.
Menerusi satu kenyataan media bersama, kumpulan ahli Parlimen yang diketuai ahli Parlimen Subang, Wong Chen dan turut disertai ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan status hitam putih pembatalan tersebut di peringkat saluran diplomatik antarabangsa.
“Sehingga kini, kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Ghani masih belum menjawab beberapa perkara kritikal terutamanya adakah Kerajaan Malaysia telah menulis secara rasmi kepada pihak Washington atau tidak.
“Antaranya adakah Kerajaan AS telah mengesahkan perjanjian ART ini telah terbatal?
“Kita tidak mahu perkara ini tergantung dan Malaysia terdedah kepada pelbagai tafsiran perjanjian, lebih-lebih lagi jika ada pertukaran pentadbiran kerajaan AS pada masa akan datang,” menurut kenyatan itu.
Kata kenyataan itu lagi, langkah mengesahkan pembatalan melalui saluran diplomatik rasmi dilihat penting bagi mengelakkan implikasi undang-undang atau ekonomi yang tidak diduga pada masa hadapan.
Dalam pada itu, lapan wakil rakyat itu turut menyeru agar satu siasatan dimulakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Perdagangan dan Hubungan Antarabangsa.
“Ini termasuklah memanggil individu utama yang terlibat semasa perjanjian itu ditandatangani khususnya bekas Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan.
“Selain itu, siasatan ini perlu meneliti langkah-langkah perlindungan yang lebih kukuh pada masa hadapan, termasuk memastikan bahawa semua perjanjian perdagangan disertakan dengan analisis kos faedah yang komprehensif dan boleh diakses oleh rakyat Malaysia terlebih dahulu.
“Ia juga bagi memastikan semua perjanjian perdagangan pada masa hadapan memerlukan kelulusan undi Parlimen sebelum ditandatangani,” kata kenyataan itu lagi.
Jelas mereka lagi, biarpun PSSC telah bersidang sebelum ini mengenai perkara ini, ada kecenderungan segelintir yang dipanggil untuk mengelak dan tidak hadir ke sesi pendengaran.
“Kami ingin menyeru kepada semua pihak yang terlibat supaya menghormati kedudukan Parlimen dalam sistem demokrasi negara dan hadir ke sesi pendengaran apabila mereka dipanggil kelak.
“Kami juga ingin mengingatkan Kerajaan Madani bahawa dasar perdagangan Malaysia yang sekian lama berpegang kepada prinsip berkecuali secara aktif serta perdagangan bebas dan adil dengan semua negara mesti terus dihormati dan dipertahankan.
“Kita mesti terus mengelakkan daripada memihak kepada mana-mana blok geopolitik dalam era persaingan perdagangan dan ekonomi yang semakin sengit antara China dan Amerika Syarikat,” katanya.
Selain Wong Chen dan Rafizi, enam lagi ahli Parlimen PKR adalah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Datuk Muhmmad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), S Kesavan (Sungai Siput), Rodziah Ismail (Ampang) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju). – MalaysiaGazette
















