Kedua-dua wanita itu disambung reman selama seminggu bermula hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Tempoh reman dua pekerja di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dalam Hospital Seberang Jaya di sini, yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan disambung selama tujuh hari lagi bermula hari ini.

Perintah lanjutan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Kedua-dua wanita berusia 22 tahun itu sebelum ini direman selama seminggu bermula Selasa lalu, selepas ditahan di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan sejurus insiden berlaku di kawasan Hospital Seberang Jaya pada 9 Mac lalu.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam kira-kira jam 8.30 pagi bagi prosiding lanjutan reman.

Mereka yang bergari dan memakai pakaian lokap berwarna ungu dilihat menutup wajah dengan tangan ketika dibawa masuk ke mahkamah.

Dalam kejadian pada 9 Mac lalu, bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemukan tidak sedarkan diri di pusat jagaan kanak-kanak 24 jam berkenaan.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Jabatan Kecemasan hospital pukul 4 pagi selepas ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang sedang bekerja shif malam di hospital berkenaan menerima panggilan memaklumkan wajah anaknya bertukar kebiruan.

Doktor dilaporkan melakukan bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR) selama sejam, namun bayi itu gagal diselamatkan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan kematian bayi berkenaan.

“Keputusan bedah siasat masih belum dapat menentukan punca kematian dan pihak polis menunggu keputusan makmal,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast