PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan tidak membiarkan kenderaan usang atau yang tidak lagi digunakan tersadai di tepi jalan, sebaliknya melupuskannya melalui saluran sah seperti sistem e-Dereg dan pusat pelupusan yang dibenarkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia bagi mengelakkan risiko undang-undang serta memberi pulangan nilai kepada pemilik.
Menurutnya, kerajaan kini sedang merangka dasar jangka panjang bagi memastikan kenderaan yang tidak lagi digunakan dapat diuruskan dengan lebih baik, khususnya dari segi proses pelupusan.

Tambah beliau, pemilik kenderaan yang tidak lagi memperbaharui cukai jalan atau tidak menggunakan kenderaan mereka mempunyai tanggungjawab untuk melupuskan kenderaan tersebut secara sah dan tidak membiarkannya begitu sahaja di tepi jalan.
“Sekarang proses pelupusan telah dipermudahkan melalui sistem e-Dereg. Jika kenderaan dilupuskan melalui sistem ini, pemilik bukan sahaja tidak perlu membiarkannya tersadai malah boleh memperoleh sedikit bayaran daripada pelupusan tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah beliau, pelupusan melalui saluran yang sah penting bagi memastikan kenderaan tersebut dinyahdaftar daripada sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sekali gus mengelakkan pemilik berdepan risiko undang-undang pada masa depan.
Anthony Loke menjelaskan, walaupun kenderaan itu sudah usang, nombor casis dan identitinya masih dikaitkan dengan pemilik asal dalam sistem.
“Oleh itu, sekiranya kenderaan tersebut dicuri atau bahagiannya disalah guna oleh pihak ketiga, pemilik masih boleh dipertanggungjawabkan.
“Jika ada apa-apa berlaku terhadap kenderaan itu, pemilik masih mempunyai tanggungjawab dari segi undang-undang. Sebab itu kita nasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkannya di tepi jalan sahaja,” ujarnya.
Beliau turut menggalakkan pemilik membawa kenderaan berkenaan ke pusat kemudahan rawatan automotif yang dibenarkan atau Authorized Automotive Treatment Facility (AATF) untuk dilupuskan secara sah.
Katanya, selain sah di sisi undang-undang, pemilik juga boleh memperoleh nilai semula daripada pelupusan kenderaan tersebut.
“Sekiranya kenderaan itu sudah tidak boleh bergerak, AATF juga menyediakan perkhidmatan menunda untuk membawa kenderaan tersebut bagi tujuan pelupusan,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui kemudahan AATF masih belum banyak di seluruh negara kerana permintaan terhadap perkhidmatan pelupusan kenderaan masih rendah.
“Kita berharap kesedaran orang ramai akan meningkat supaya kenderaan usang tidak terus dibiarkan tersadai,” katanya. – MalaysiaGazette
















