Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin hadir ke Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 15 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – `Jika ada papan yang longgar, saya bantu ketatkannya. Jika ada paku yang perlu dipalu, saya bantu memalunya.’

Demikian kata-kata penuh makna daripada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin yang secara rasmi mengesahkan kepulangannya ke pangkuan UMNO selepas dipecat parti itu tiga tahun lalu.

Tampil dengan jiwa besar, tokoh politik prolifik itu menyifatkan kepulangannya sebagai satu kepulangan ke ‘rumah lama’; satu-satunya wadah perjuangan yang beliau kenali sejak bermulanya langkah dalam arena politik tanah air.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Khairy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengesahkan telah menyerahkan permohonan rasmi agar pemecatan keahliannya dibatalkan serta-merta.

“Atas semangat Rumah Bangsa, saya telah secara rasminya memohon agar pemecatan keahlian saya dari UMNO dibatalkan dan nombor keahlian asal saya diaktifkan semula.

“Saya harap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Rumah Bangsa dapat mempertimbangkan hasrat saya dengan sewajarnya.

“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau (Ahmad Zahid) dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya.

Beliau berkata, pada saat politik tanah air berdepan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa iaitu UMNO, yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.

“Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan.

“Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa,” katanya lagi.

Jelasnya, keutamaan saat ini adalah memastikan setiap inci bahagian bahtera UMNO iaitu daripada papan yang longgar sehingga ke palka yang bocor dapat diperbaiki agar ia terus ampuh meredah ombak dan badai zaman.

“Apa yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah.

“Insya’Allah, I’m coming home,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast