Khairy Jamaluddin menyerahkan surat rayuan untuk kembali kepada UMNO kepada Ahmad Zahid Hamidi. - Foto: FB Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin semalam menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.

Perkara itu dikongsikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ahmad Zahid turut menyifatkan kehadiran Khairy dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan itu sebagai antara makna sebenar inisiatif Rumah Bangsa.

Jelasnya, Rumah Bangsa merupakan sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula ahli-ahli UMNO dalam satu keluarga besar perjuangan.

“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.

“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut – biduk lalu, kiambang bertaut.

“Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berharap supaya Rumah Bangsa menjadi asas untuk dipertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini.

Sebelum ini, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau secara terbuka mengumumkan beliau mahu kembali menyertai UMNO menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.

Berdasarkan petikan audio siar ‘Keluar Sekejap’, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan, turut mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar, membuat draf surat permohonan untuk tujuan itu.

Keputusan Khairy itu sebagai maklum balas kepada kenyataan Ahmad Zahid bahawa parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian, untuk kembali menyertai UMNO tanpa syarat.

Pada Januari 2023, UMNO dilaporkan memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast