JOHOR BAHRU – Kembara rohani dalam mencari ketenangan dan makna sebenar sebuah kehidupan membawa pertemuan Nur Salina Pei Abdullah dengan agama Islam.
Nur Salina atau nama asalnya Sherlyn Pei Chia Chia, 37, sebelum ini mencari kebahagiaan serta kebenaran yang tidak ditemui dalam agama asal dia dan keluarganya.
Dia yang berasal dari Kuching, Sarawak dan kini menetap di Parit Raja, Batu Pahat tidak menyangka apa yang dicari dalam perjalan hidupnya ditemui dalam bentuk hidayah.
Wanita berketurunan Cina Bidayuh itu secara rasmi memeluk Islam pada 4 Julai 2013.
“Sebelum menjadi Islam saya sering bertanya untuk apa hidup kita ini. Rutin harian waktu pagi pergi balik kerja, malam pula tidur dan esok ulang rutin yang sama.
“Di sebalik kehidupan itu saya sering mencari kebahagian dan selepas mengenali Islam saya menemukan apa yang saya cari selama ini,” katanya.
Dia yang bekerja sebagai pentadbir di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat berkata demikian ketika ditemui dalam program Iftar Perdana Amal Hidayah Centre di Trove Hotel di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Jawatankuasa Penasihat Hidayah Centre Foundation, Dr Zulkifli Khair.
Bercerita lanjut, ibu kepada seorang cahaya mata itu bersyukur kerana keluarganya yang masih menganuti agama Kristian tidak membantah pilihannya menukar agama.
Katanya, cabaran awal ketika mula memeluk Islam adalah untuk menjaga solat lima waktu pada peringkat awal tetapi dapat diatasi apabila sudah menjadi amalan harian.
Dia yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik kini berdakwah kepada ibu bapa dan adik-beradiknya untuk menerima hidayah Islam yang tidak ternilai harganya.
“Ini cabaran utama saya ketika ini. Apa yang saya mahukan nanti kalau boleh nak bawa mak ayah dan keluarga bersatu di syurga. Itu sahaja matlamat saya sekarang.
“Ibu ayah saya sekarang sudah cool, dulu kalau saya cakap (dakwah) mereka akan tukar topik. Saya rasa perkara utama (untuk berdakwah) adalah tunjukkan akhlak yang baik.
“Saya fikir juga kadang-kadang dengan keluarga bila kita cakap tak semestinya dia dengar. Sekarang yang utamanya tunjukkan akhlak, kita hormat, sering peluk, cium dan minta maaf dengan dia yang selama ini masyarakat Kristian jarang buat begitu,” katanya.
Dia berkata, hubungan dengan ibu bapa dan keluarganya tidak terputus sejak menjadi mualaf dan terus berjalan baik sehingga kini walaupun mereka berlainan agama.
Malah katanya, semasa Tahun Baharu Cina, semua adik-beradik tetap berkumpul untuk merapatkan hubungan tanpa rasa janggal.
“Kita masih raikan tetapi bukan perkara yang bercanggah dengan agama Islam. Sebab bagi saya bila sudah peluk Islam, sambutan itu boleh diteruskan.
“Kalau dulu sambutan Tahun Baharu Cina tidak boleh sapu sampah, basuh rambut, menangis dan macam-malam. Tapi bila peluk Islam tidak ikut lagi pantang larang itu, apa yang penting semua ahli keluarga berkumpul,” katanya. – MalaysiaGazette















