KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Zamri Vinoth yang sebelum ini dijangka berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagaimanapun tidak didakwa kerana pihak berkuasa masih belum memuktamadkan proses siasatan terhadap kes berkenaan.
Peguamnya, Haniff Khatri Abdulla berkata, setakat ini tiada sebarang pertuduhan difailkan memandangkan siasatan masih berjalan dan keputusan lanjut bergantung kepada arahan pihak pendakwaan.
Menurut beliau, sebarang perkembangan berhubung kemungkinan pertuduhan terhadap anak guamnya hanya akan dimaklumkan selepas proses siasatan selesai sepenuhnya.
“Setakat ini belum ada pengesahan pertuduhan. Jika ada perkembangan, saya akan maklumkan,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, mesej tular di media sosial mendakwa Zamri akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sekitar pukul 8.30 pagi hari ini.
Susulan itu, beberapa pengamal media dilihat menunggu di lobi kompleks mahkamah bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes berkenaan.
Bagaimanapun, sehingga lewat pagi ini, tiada sebarang prosiding melibatkan Zamri berlangsung di mahkamah berkenaan.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa siasatan terhadap Zamri telah selesai dijalankan dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pihaknya mencadangkan agar kes tersebut dipertimbangkan untuk pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam atau menyebabkan kegusaran kepada orang ramai.
Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid sebelum ini turut memaklumkan bahawa polis mengesan Zamri bersama seorang lagi individu, Tamim Dahri dipercayai berada di selatan Thailand ketika siasatan dijalankan.
Menurut beliau, pihak polis sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kedua-dua individu berkenaan.
Kes berkenaan dipercayai berkait dengan kenyataan yang dibuat ketika satu perhimpunan di pekarangan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur pada 7 Februari lalu, yang mencetuskan kontroversi dan beberapa laporan polis. -MalaysiaGazette
















