KUALA LUMPUR – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius kebimbangan masyarakat berhubung persepsi layanan undang-undang yang berbeza dalam kes melibatkan Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy.

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang tidak boleh dilaksanakan dalam bentuk yang menimbulkan persepsi ketidakadilan.

“ABIM melihat wujud kegusaran awam terhadap konsistensi penguatkuasaan undang-undang.

“Perbandingan yang timbul berkaitan kaedah pengendalian tertuduh telah mencetuskan persoalan tentang kesaksamaan tindakan pihak berkuasa.

“Dalam masyarakat majmuk, sebarang perbezaan yang meragukan akan mudah ditafsir sebagai amalan dwistandard, sekali gus menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Fahmi Mohd Samsudin

Beliau merujuk kepada perbezaan layanan yang diterima dua aktivis iaitu Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy ketika masing-masing dihadapkan di mahkamah berbeza pagi tadi.

Zamri Vinoth dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tangan bergari dan diiringi kawalan polis yang ketat sebelum prosiding bermula.

Namun, Arun selain tidak bergari, tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang dengan ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Ahmad Fahmi juga berkata, ABIM turut memandang serius kehadiran Kulasegaran dalam sesi perbicaraan melibatkan Arun.

Menurutnya, kehadiran anggota Kabinet dalam kes berprofil tinggi yang sensitif adalah tidak wajar dan berisiko menimbulkan persepsi campur tangan politik.

“Prinsip kebebasan institusi keadilan menuntut agar proses siasatan dan pendakwaan dilaksanakan tanpa sebarang bayangan pengaruh luar,” katanya.

Menurut Ahmad Fahmi, kes itu menunjukkan bahawa pengurusan kepelbagaian agama dan kaum di negara ini sedang berdepan tekanan yang semakin meningkat.

“Wacana awam berkaitan isu identiti kini semakin mudah dipolitik dan dipolarisasikan, sehingga setiap insiden berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih luas.

“Jika tidak ditangani dengan pendekatan adil, konsisten dan berhemah, keadaan ini berisiko mengheret masyarakat ke dalam kitaran syak wasangka dan reaksi berlebihan boleh merosakkan asas keharmonian negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, ABIM menuntut pihak berkuasa memberi penjelasan rasmi dan terbuka mengenai perbezaan prosedur pengendalian tertuduh, termasuk penggunaan gari.

Selain itu, beliau turut menuntut jaminan tegas bahawa tiada campur tangan politik dalam mana-mana proses siasatan dan pendakwaan serta penyeragaman dan pematuhan ketat terhadap SOP penguatkuasaan, khususnya dalam kes berprofil tinggi.

Tambahnya, ABIM menegaskan keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan secara saksama.

“Kegagalan menangani isu persepsi ini akan menghakis kepercayaan rakyat serta membuka ruang kepada ketegangan yang tidak perlu.

“Malaysia memerlukan keadilan yang tegas, konsisten dan diyakini bukannya keadilan yang dipersoalkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Soalan tu kena Menteri KDN dan Ketua Polis Negara… dua org ni kena jelaskan kpd rakyat sebab apa layanan berbeza??

Comments are closed.