Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua kerja penyenggaraan diarahkan dihentikan bermula esok hingga 30 Mac ini bagi memastikan kelancaran operasi lebuh raya sempena musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, arahan ini bertujuan memastikan trafik lebih lancar, mengelakkan lorong ditutup, serta meminimumkan gangguan kepada pengguna yang pulang ke kampung atau kembali semula ke ibu kota selepas Aidilfitri.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Dalam masa sama, beliau berharap pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Pengguna juga disarankan memuat turun aplikasi TuJu Navigasi Lebuh Raya LLM dan MyPLUS-TTA untuk mendapatkan cadangan jadual waktu perjalanan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pemanduan.

“Selain itu, semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan papan tanda, had laju, dan memberi perhatian kepada maklumat yang dipaparkan di Variable Message System (VMS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Alexander, bagi mereka yang menggunakan lorong smart lane diminta memberi isyarat awal sebelum memasuki lorong tersebut, memandu dengan kelajuan ditetapkan, dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling.

“Pengguna juga disarankan untuk menyemak status trafik semasa atau sebarang insiden di lebuh raya melalui saluran rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia di Facebook, TikTok, atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

“Maklumat tambahan juga boleh didapati melalui laman sesawang rasmi LLM untuk paparan CCTV serta WhatsApp Channel LLM Info Trafik,” katanya.

Terdahulu, Alexander berkata, KKR berharap pemberian diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membawa kegembiraan kepada para perantau yang akan pulang meraikan Syawal bersama keluarga di kampung halaman.

Menurutnya, langkah itu juga diharap dapat membantu meringankan kos perjalanan rakyat, terutama mereka yang menempuh perjalanan jauh serta menanggung pelbagai keperluan persiapan hari raya.

“Pemilihan tarikh pelaksanaan diskaun ini bertujuan mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan, selain mengoptimumkan pengoperasian dan penyelarasan logistik tambahan di sepanjang kawasan hentian sebelah serta kawasan Rehat dan Rawat (RSA) di lebuh raya,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pemberian diskaun tol itu yang akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam 18 Mac dan berakhir pada jam 11.59 malam 19 Mac. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast