Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri memutuskan untuk memberi diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena Aidilfitri bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, diskaun itu akan berkuat kuasa mulai pukul 12.01 tengah malam pada 18 Mac (Rabu) hingga pukul 11.59 malam 19 Mac (Khamis) ini.

Jelasnya, ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA).

“Inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Anwar menambah, Kerajaan MADANI menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia juga akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara Fast Track.

Sehubungan itu, bersempena Aidilfitri ini, ujarnya, sekitar 4,000 individu khususnya ibu dan bapa tunggal akan dibebaskan daripada belenggu kebankrapan.

“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar mengulangi seruan agar rakyat terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal.

Ujar Perdana Menteri, dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.

“Mewakili seluruh jentera Kerajaan MADANI, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Semoga Aidilfitri disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga serta insan tersayang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast