Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP WAN Azlan Wan Mamat.

KUALA LUMPUR – Dua lelaki maut manakala, seorang lagi cedera selepas terjatuh dari jentera skylift ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah rumah pangsa di Subang Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian melalui panggilan kecemasan MERS 999 daripada orang awam kira-kira pukul 3.50 petang.

Menurut beliau, sepasukan polis dari Balai Polis USJ 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki terbaring di bahagian pintu masuk apartment tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan, manakala seorang lagi mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan selepas mengalami kecederaan di kepala dan dada.

Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa yang berumur antara 38 hingga 46 tahun itu sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima menggunakan jentera skylift dalam keadaan cuaca hujan lebat.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi tujuan bedah siasat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100, atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast