Dr Hussain Yusri Zawawi

KUALA LUMPUR – Perbezaan layanan terhadap dua individu, Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy yang masing-masing dibawa ke mahkamah dengan keadaan bergari dan tanpa gari bergantung kepada prosedur polis dan faktor keselamatan.

Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, secara umumnya pemakaian gari terhadap tahanan bukanlah bersifat sewenang-wenangnya, sebaliknya tertakluk kepada garis panduan dan penilaian pihak berkuasa.

Kebiasaannya, menurut beliau, tindakan menggari dibuat berdasarkan faktor risiko seperti kemungkinan melarikan diri atau ancaman keselamatan, selain turut dipengaruhi prosedur standard operasi yang ditetapkan polis.

“Kalau seseorang itu digari ketika dibawa ke mahkamah, besar kemungkinan ia dibuat mengikut prosedur sedia ada.

“Namun, saya akui dalam situasi melibatkan dua kes yang dilihat hampir sama tetapi, berbeza dari segi layanan, ia boleh menimbulkan persepsi dalam kalangan masyarakat,” katanya yang juga seorang penganlisis politik kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau  mengakui belum meneliti secara mendalam kedua-dua kes berkenaan dan menegaskan keperluan untuk merujuk kepada peruntukan undang-undang seperti Kanun Tatacara Jenayah serta prosedur polis sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Terdahulu, peguam kepada Zamri dilaporkan mempertikaikan tindakan menggari anak guamnya ketika dibawa ke mahkamah, berbanding Arun yang didakwa berdepan kes hampir serupa namun, tidak dikenakan tindakan sama.

Zamri Vinoth dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tangan bergari dan diiringi kawalan polis yang ketat sebelum prosiding bermula.

Namun, Arun selain tidak bergari, tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang dengan ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Mengulas lanjut, Dr Hussain berkata, meskipun tindakan tersebut mungkin menimbulkan persepsi negatif, ia tidak semestinya menunjukkan ketidakadilan kerana setiap kes dinilai berdasarkan keadaan dan risiko tersendiri.

“Persepsi awam itu memang wujud apabila ada perbezaan layanan, tetapi hakikatnya setiap tindakan pihak berkuasa dibuat berasaskan prosedur. Itu yang perlu difahami,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast