Dr Muhamad Akmal Saleh

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO menuntut jawapan daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang mengiringi aktivis, Arun Dorasamy yang didakwa di mahkamah hari ini.

Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, apa mesej yang hendak disampaikan oleh Kulasegaran dengan tindakannya itu.

“Persoalan ini memerlukan jawapan kepada rakyat! Mengapa YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang) perlu mengiringi seorang individu yang hendak dipertuduhkan di Mahkamah? Apa mesej yang ingin disampaikan?,” soalnya.

Katanya, hari ini rakyat dapat melihat bagaimana dua individu berbeza dituduh di mahkamah atas pertuduhan yang sama, tetapi seorang dituduh di Kuala Lumpur diusung oleh sekumpulan pihak polis dengan tangan bergari.

Manakala seorang lagi dituduh di Jawi, Pulau Pinang berjalan penuh senyuman dengan tangan di poket, lengkap bersut sambil diiringi oleh Timbalan Menteri Undang-Undang.

Menurut Akmal, dua individu yang menghadapi pertuduhan masing-masing, biarlah undang-undang dilaksanakan dengan sewajar dan sepatutnya.

Tetapi kehadiran seorang timbalan menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal undang-undang tak sepatutnya hadir.

Ia kerana, hujahnya, kehadiran Kulasegaran mengundang persepsi awam kepada ketulusan undang-undang di Malaysia yang sepatutnya dititikberatkan.

Tegasnya, tindak-tanduk Kulasegaran itu menimbulkan persepsi yang tidak sihat terhadap prinsip kebebasan badan kehakiman dan kesaksamaan undang-undang.

“Takkanlah Timbalan Menteri Undang-Undang yang pernah jadi Peguam tak faham hal ini?,” soalnya.

Akmal berkata, mahkamah adalah institusi yang mesti bebas daripada sebarang bentuk pengaruh, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Sekalipun kehadiran Timbalan Menteri Undang-Undang mungkin tidak bertujuan untuk mencampuri proses keadilan, persepsi awam adalah sangat penting. Justice must not only be done, but must also be seen to be done (keadilan bukan sahaja mesti ditegakkan, tetapi juga mesti dilihat telah ditegakkan)

“Sekali lagi, takkan Timbalan Menteri Undang-Undang yang pernah jadi Peguam tak tahu pasal benda ni? Kalau tak tahu, jelaskan kenapa perlu iring OKT ke mahkamah jenayah.

“Kalau tahu, kenapa kena buat juga?,” tanya dia lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast