Peguam, Muhammad Hariz MD Yusoff bercakap pada media berikutan Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram ketika keluar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL 17 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Peguam kepada pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mempersoalkan layanan berbeza terhadap anak guamnya ketika dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusof berkata, Muhammad Zamri Vinoth atau lebih dikenali sebagai Zamri Vinoth dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tangan bergari dan diiringi kawalan polis yang ketat sebelum prosiding bermula.

Menurut beliau, keadaan itu berbeza dengan seorang lagi individu, Arun Dorasamy, yang turut didakwa pada hari sama di bawah seksyen yang sama, namun hadir ke mahkamah tanpa bergari.

“Anak guam saya dibawa masuk ke mahkamah dengan tangan bergari dan kawalan ketat polis, sedangkan seorang lagi individu yang turut didakwa di bawah Seksyen 505(b) hadir ke mahkamah tanpa digari.

“Ini menimbulkan persoalan mengenai layanan yang tidak seimbang terhadap tertuduh yang berdepan pertuduhan sama,” katanya kepada media selepas prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Reaksi Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth ketika keluar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL 17 MAC 2026.

Muhammad Hariz berkata, lebih mengejutkan apabila Arun turut diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran ketika hadir ke mahkamah.

“Jadi kita lihat ada perbezaan layanan yang ketara. Anak guam saya digari dan dikawal ketat sedangkan seorang lagi tertuduh bagi kes yang sama hadir tanpa gari,” ujarnya.

Dalam masa sama, Muhammad Hariz turut menegaskan dakwaan Zamri Vinoth melarikan diri ke Thailand sebelum ini tidak tepat.

Menurutnya, rekod perjalanan pasport menunjukkan anak guamnya telah kembali ke Malaysia pada 12 Mac lalu, sekali gus bercanggah dengan kenyataan media Ketua Polis Negara pada 13 Mac lalu yang mendakwa beliau berada di negara jiran.

“Rekod pasport menunjukkan beliau sudah masuk semula ke Malaysia pada 12 Mac lalu. Jadi dakwaan bahawa beliau melarikan diri tidak tepat,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hariz menjelaskan, pertuduhan terhadap Zamri Vinoth berkait dengan satu hantaran Facebook mengenai surat pemakluman perhimpunan aman di hadapan Kompleks Sogo kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi pada 1 Februari lalu.

Menurut beliau, pihak pembelaan bersedia menghadapi pertuduhan tersebut dan akan membuktikan anak guamnya tidak bersalah di mahkamah.

Muhammad Hariz turut memaklumkan setakat ini tiada pengesahan bahawa Zamri Vinoth akan berdepan pertuduhan lain termasuk di bawah Akta Hasutan 1948, sebaliknya hanya pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut menetapkan 29 April depan sebagai tarikh sebutan kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan, manakala pihak pembelaan akan mempertimbangkan untuk mengemukakan representasi selepas mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya.

Terdahulu, Mahkamah Majistret membenarkan Zamri Vinoth diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin, lebih rendah daripada jumlah RM10,000 yang dimohon pihak pendakwaan.

Seksyen 505 Kanun Keseksaan merujuk kepada kesalahan berkaitan kenyataan, khabar angin atau laporan yang boleh menimbulkan kegentaran awam atau mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Bagi Seksyen 505(b), jika sabit kesalahan seseorang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast