Reaksi Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth ketika tiba dengan tangan bergari bagi menghadapi pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL 17 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang berpotensi menimbulkan kegentaran awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan kira-kira pukul 9.20 pagi.

Tertuduh yang kelihatan ceria dan mengenakan kot berwarna biru dilihat tenang ketika pertuduhan dibacakan sebelum menjawab ‘tidak bersalah’.

Mengikut pertuduhan, Zamri didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan kegentaran awam sehingga mendorong orang ramai melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada 7 Februari lalu.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Zamri tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta dengan tangan bergari kira-kira pukul 9.10 pagi diiringi kawalan ketat polis.

Turut kelihatan di mahkamah pagi ini beberapa anggota Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong.

Beliau juga sempat mengucapkan salam kepada wartawan dan jurugambar yang menunggu sejak pukul 8 pagi tadi, sambil berkata: “Insya-Allah sama-sama kita lahirkan Malaysia yang aman dan damai. Assalamualaikum.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast