EXCO Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik bersama Zulkifly pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri 2026 di Plaza Tol Bukit Tambun, Pulau Pinang.

SEBERANG PERAI – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan memberi tumpuan kepada 18 lokasi ‘hotspot’ di seluruh negeri menerusi Op Hari Raya (Op HRA) 2026 yang berlangsung dari 13 hingga 29 Mac ini, dengan sasaran menurunkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 10 peratus.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, penguatkuasaan akan dipertingkat terutama di laluan ‘hotspot’ melibatkan lima daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS), Timur Laut dan Barat Daya.

“Antara lokasi terbabit ialah Jalan Teluk Air Tawar, Jalan Pokok Sena dan Jalan Sungai Puyu di SPU; Jalan Baru Perai, Jalan Bukit Mertajam dan Jalan Perusahaan Perai di SPT; serta Jalan Bukit Tambun, KM13 hingga KM32 (Simpang Ampat) dan Jalan Valdor di SPS.

“Bagi daerah Timur Laut pula, lokasi ‘hotspot’ adalah Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jalan Paya Terubong dan Hentian sebelah E-Gate, manakala di Barat Daya melibatkan Jalan Tun Dr. Awang serta Jalan Sultan Azlan Shah.

“Fokus utama kita pada Op HRA kali ini adalah untuk menurunkan kadar kemalangan sebanyak 10 peratus berdasarkan perbandingan statistik kemalangan pada 2025,” katanya.

Zulkifly.

Beliau berkata demikian pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri dan Singgah Sahur Bersama Anggota Penguatkuasa JPJ negeri di Plaza Tol Bukit Tambun arah Utara di sini, lewat malam tadi.

Hadir sama, EXCO Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat, Goh Choon Aik.

Menurut beliau, seramai 245 anggota akan ditugaskan sepanjang Op HRA dengan rondaan dijalankan selama 16 jam sehari di laluan ‘hotspot’, manakala operasi akan dilaksanakan 24 jam ketika tempoh larangan penuh.

“Anggota akan ditempatkan di ‘point operative’ sepanjang laluan ‘hotspot’ dan melakukan rondaan berterusan bagi memastikan pemantauan dibuat sepanjang masa,” katanya.

Mengulas lanjut Zulkifly berkata, pihaknya turut menyasarkan peningkatan kadar pematuhan pengguna jalan raya atau Peratusan Pematuhan Orang Berkuat Kuasa (POBC) kepada 75 peratus melalui pelaksanaan program advokasi secara meluas.

“Kita banyakkan program advokasi untuk tingkatkan kesedaran dalam kalangan pemandu. Bila kita sentiasa berjumpa dan berada di lapangan, tahap pematuhan itu akan meningkat.

“Sasaran kita adalah untuk capai kadar pematuhan sebanyak 75 peratus sepanjang musim perayaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ akan melaksanakan pemeriksaan bas di depoh tiga hari sebelum Hari Raya bagi memastikan semua kenderaan berada dalam keadaan selamat.

“Kita sasarkan 100 peratus bas diperiksa lebih awal supaya kenderaan yang digunakan penumpang untuk pulang ke kampung berada dalam keadaan selamat dan mematuhi peraturan jalan raya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast