KUALA LUMPUR – Pembayar cukai tidak perlu mengemukakan pindaan terhadap kesilapan menandakan ruangan ‘ Cukai ditanggung majikan’ secara tidak sengaja semasa mengisi Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) Tahun Taksiran 2025.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) berkata, ia telah melaksanakan semakan dan mengenal pasti kes yang terlibat.
Katanya, bagi kes yang disahkan sebagai kesilapan penandaan, bayaran balik lebihan cukai akan diproses secara berperingkat.
“LHDN ingin menegaskan bahawa sistem pemprosesan bayaran balik cukai dilaksanakan secara automatik berdasarkan maklumat yang dikemukakan oleh pembayar cukai dalam BNCP.
“Oleh itu, ketepatan maklumat yang diisikan adalah penting bagi memastikan proses bayaran balik dapat dilaksanakan dengan lancar dan tanpa sebarang kelewatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. -MalaysiaGazette
















