Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu bercakap pada sidang media berkenaan Op Lejang Mewah Klon di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 MAC 2026.

KUALA LUMPUR — Sindiket klon dan ubah identiti kenderaan yang menggunakan dokumen ‘sah’ bagi mengaburi mata pembeli akhirnya tumpas dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu, berkata operasi dari 12 hingga 15 Mac itu adalah hasil risikan selama hampir lima bulan.

“Seramai 12 suspek tempatan ditahan melibatkan 10 lelaki dan dua wanita berusia antara 33 hingga 60 tahun.

“Siasatan mendapati mereka bergerak dalam tiga lapisan iaitu pembeli, orang tengah serta penjual atau dealer,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu menunjukkan wajah-wajah suspek yang terlibat dalam Op Lejang Mewah Klon di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 MAC 2026.

Menurutnya, sebanyak 12 kenderaan bernilai kira-kira RM1.1 juta dirampas dalam operasi tersebut.

“Daripada jumlah itu, lapan kenderaan didapati telah diklon atau dipalsukan identitinya, manakala empat lagi dilaporkan dicuri dari Singapura.

“Seorang suspek turut dikehendaki oleh pihak berkuasa Singapura dan telah diserahkan pada 16 Mac lalu,” dedah beliau.

Mengulas modus operandi, Kumar berkata sindiket itu menggunakan identiti kenderaan curi atau kenderaan yang diisytihar sebagai ‘total loss’ sebelum mengubah nombor casis dan enjin.

Katanya, mereka turut memanipulasi data pendaftaran serta menggunakan nombor plat baharu bagi menjadikan kenderaan itu kelihatan asli.

“Kereta-kereta ini nampak seperti kenderaan sah lengkap dengan geran, cukai jalan dan insurans, menyebabkan pembeli sukar mengesan penipuan,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 79A Kanun Keseksaan, dengan siasatan lanjut kini menjurus kepada kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’.

“Siasatan turut melibatkan akses kepada maklumat kenderaan ‘total loss’, proses pelepasan pemeriksaan di PUSPAKOM serta kaedah pengeluaran geran,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar Muthuvelu menunjukkan kereta yang dirampas pada sidang media berikutan Op Lejang Mewah Klon di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 18 MAC 2026.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada ketika membeli kenderaan terpakai.

“Semak kewajaran harga, elakkan urus niaga secara tunai kerana sukar mendapatkan pembiayaan dan pastikan proses jual beli dibuat mengikut saluran yang sah.

“Kenderaan ‘total loss’ juga perlu dilaporkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tujuan pelupusan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast