Chang Lih Kang

KUALA LUMPUR – Inisiatif pemberian Geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Madani kini digerakkan ke peringkat akar umbi membuktikan agenda sains, teknologi dan inovasi bukan lagi sekadar retorik dasar di Putrajaya, sebaliknya benar-benar turun ke sekolah dan komuniti seluruh negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang menegaskan pendekatan baharu itu memastikan manfaat teknologi tidak terperangkap dalam dokumen polisi semata-mata.

“Inisiatif STI Madani terus diperkukuh sebagai usaha membawa sains, teknologi dan inovasi lebih dekat dengan rakyat — bukan hanya di peringkat dasar, tetapi terus ke sekolah, komuniti dan kawasan Parlimen di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, pendekatan turun padang itu sudah mula menampakkan hasil apabila kira-kira 100 Ahli Parlimen mengambil bahagian menjayakan program STEM di kawasan masing-masing.

“Pendekatan ini membolehkan lebih ramai pelajar dan komuniti mendapat pendedahan awal kepada teknologi, sekali gus membuka ruang untuk mencungkil bakat serta minat dalam bidang sains dan inovasi,” jelasnya.

Menurut Lih Kang, langkah itu dilihat sebagai usaha memecahkan tembok persepsi bahawa pembangunan teknologi hanya berlegar di kementerian atau universiti ternama, sedangkan bakat masa depan perlu dibentuk seawal bangku sekolah.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, matlamat utama STI Madani bukan sekadar meningkatkan kesedaran, tetapi membina asas kukuh kepada pembangunan bakat negara dalam jangka panjang.

“Melalui STI MADANI, kita bukan sahaja membina kesedaran, tetapi juga meletakkan asas kepada pembangunan bakat masa depan negara.

“Inilah langkah penting untuk memastikan Malaysia terus melahirkan generasi inovator, memperkukuh daya saing ekonomi dan memastikan manfaat teknologi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa pembangunan teknologi tidak boleh bergerak secara berasingan atau ‘silo’, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak.

“Ia memerlukan kerjasama semua pihak yakni kerajaan, wakil rakyat, institusi pendidikan dan komuniti agar agenda sains dan inovasi benar-benar menjadi gerakan nasional yang inklusif dan berimpak,” ujar beliau.

Januari lalu, MOSTI mengumumkan pemberian Geran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Madani bernilai RM10,000 kepada setiap kawasan Parlimen bagi melaksanakan program berkaitan STI.

Inisiatif julung kali itu akan disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kepada pejabat Ahli Parlimen seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast