Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Isu rumah ibadat tidak mengikut undang-undang kembali ‘meletup’ apabila Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menegaskan perkara itu tidak boleh dikompromi meskipun rundingan damai antara NGO Islam dan Hindu sedang berlangsung.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) itu berkata, persefahaman dicapai kedua-dua pihak semalam dan menetapkan semua rumah anutan agama wajib mematuhi undang-undang sedia ada tanpa pengecualian.

“Adakah kami kompromi dan tunduk kepada tuntutan? Tidak. Kami tegaskan dan bersetuju bahawa semua rumah anutan mestilah mengikut undang-undang.

“Jika tak mengikut undang undang ia tidak diiktiraf dan boleh dirobohkan. Cara perobohan pula dibuat dengan kerjasama semua agar keamanan tidak tergugat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tegas itu susulan mesyuarat pertama yang diadakan semalam bagi mencari titik damai dalam menyelesaikan beberapa isu sensitif melibatkan kedua-dua komuniti sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, dialog tersebut membuka ruang rundingan lebih matang tanpa dipengaruhi pihak luar yang berpotensi mencetuskan provokasi.

Katanya, pertemuan itu menjadi langkah awal penting dalam meredakan ketegangan yang jika dibiarkan mampu menggugat kestabilan negara.

“Memang betul ada perbincangan berdamai antara pihak-pihak yang saya nyatakan tadi. Ia dilakukan bagi mengelakkan titik panas yang ada terus membarah dan akan menggugat keamanan negara,” jelasnya.

Tambah beliau, antara hasil utama rundingan ialah cadangan menubuhkan satu jawatankuasa khas oleh kerajaan bagi mengendalikan isu sensitif secara tertutup dan lebih tersusun.

“Apa yang dipersetujui ialah kami bersama mendesak satu jawatan kuasa bersama ditubuh oleh kerajaan bagi berdialog dan membincangkan penyelesaian isu isu sensitif secara tertutup dan bebas dari provokasi pihak ketiga,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mendakwa majoriti masyarakat India sendiri memahami kewujudan kuil yang tidak mematuhi undang-undang adalah satu kesalahan namun pendekatan pelaksanaan perlu diteliti.

“Sebenarnya ramai orang India setuju kuil tidak mengikut undang undang adalah salah dan tidak perlu ujud. Cuma cara perobohan perlu diteliti apabila ia melibatkan patung sembahan dan benda yang dianggap suci oleh orang India,” ujarnya.

Beliau turut menyindir pihak tertentu yang didakwa mempolitikkan isu berkenaan serta menghasut sentimen perkauman selain melahirkan kekecewaan terhadap kumpulan yang tidak hadir dalam rundingan tersebut.

“Yang hadir mahu mencapai perdamaian. Yang tidak hadir saya tidak tahu. Pada saya inilah forum yang terbaik bagi memahami antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, usaha perdamaian itu tidak menjejaskan prinsip asas Pembela, sebaliknya menjadi langkah ke hadapan untuk memastikan keharmonian negara terus terpelihara.

“Kita mahu mengorak langkah seterusnya untuk Malaysia yang lebih aman. Ketahuilah kita tidak tunduk kepada tekanan. Prinsip asas masih utuh kami pegang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

NGO Melayu, India bertemu cari titik perdamaian, selesai kemelut secara baik 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast