KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor terus memperkasakan kebajikan penggerak institusi agama apabila menyalurkan peruntukan berjumlah RM1,561,000 menerusi Program Penyerahan Insentif Khas KitaSelangor Aidilfitri (IKSA) 1447H/2026M.
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, insentif khas tersebut adalah tanda penghargaan buat pentadbir serta petugas masjid yang bertungkus-lumus mengimarahkan rumah ALLAH di seluruh negeri.
“Pelaksanaan program IKSA ini disegerakan sebelum sambutan Aidilfitri bagi memenuhi hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan petugas masjid terus terbela menjelang hari kemenangan umat Islam.
“Pentadbir dan petugas masjid ini telah memainkan peranan penting dalam mengimarahkan institusi masjid serta memperkukuh pembangunan rohani masyarakat setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Turut hadir pada majlis penyerahan tersebut adalah Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor, Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop serta barisan pentadbir masjid seluruh Selangor.
“Peruntukan bagi program kali ini disalurkan menerusi dana MBI yang dikhususkan kepada petugas masjid bagi sesi lantikan baharu bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“Keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penggerak masjid telah pun bermula sejak awal Ramadan lalu apabila Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,557,500 disalurkan kepada barisan Nazir, Setiausaha, Bendahari, Imam Rawatib, Bilal, dan Siak bagi sesi lantikan 2023-2025,” katanya lagi.
Langkah konsisten yang dilaksanakan sejak tahun 2023 ini mencerminkan komitmen jitu pentadbiran negeri dalam memastikan institusi keagamaan di Selangor kekal kukuh dan diuruskan oleh individu yang dihargai kebajikannya.
Sinergi antara agensi agama dan korporat negeri menerusi MBI ini dilihat sebagai model terbaik dalam memastikan kelestarian pengurusan masjid di Selangor. – MalaysiaGazette
















