Khalid Ismail

KUALA LUMPUR – Polis menafikan memberi layanan berbeza terhadap Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy, sebaliknya tindakan terhadap kedua-dua aktivis itu diambil mengikut prosedur dan lunas undang-undang sedia ada.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tangkapan awal terhadap mereka adalah melibatkan kes di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan, namun terdapat satu kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948.

“Kesalahan-kesalahan yang kita tangkap sebelum ini berbeza-beza. Ada yang bailable (boleh dijamin), ada yang tidak boleh dijamin dan sebagainya.

“Dalam fasa awal tangkapan melibatkan empat kes di Putrajaya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan.

“Mungkin orang awam melihat ia satu perkara yang berbeza, namun kita melaksanakan undang-undang ini mengikut peruntukan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Terdahulu, pelbagai pihak mempersoalkan perbezaan layanan terhadap kedua-dua aktivis berkenaan yang berdepan pertuduhan di mahkamah kelmarin.

Zamri Vinoth dibawa masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan tangan bergari dan diiringi kawalan polis yang ketat sebelum prosiding bermula.

Namun, Arun selain tidak bergari, tiba di pekarangan bangunan Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang dengan ditemani Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalid menyokong dan menghargai komitmen serta semangat perpaduan nasional untuk mencari penyelesaian dalam isu sensitif termasuk rumah ibadat menerusi penganjuran program Harmoni Madani membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan India.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan polemik awam berkaitan isu rumah ibadat khususnya melibatkan dakwaan pembinaan kuil tanpa kelulusan sehingga ada pihak cuba mengambil tindakan bersifat provokatif termasuk menganjurkan himpunan.

“Kita sentiasa memantau dan meneliti beberapa perkembangan yang berlaku sejak kebelakangan ini yang berpotensi menjadi titik panas sehingga membawa kepada ketegangan antara kaum.

“PDRM juga komited memastikan keamanan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, tapi akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau berharap agar sesi dialog semalam itu dapat membuka ruang persefahaman yang lebih luas antara komuniti Melayu dan India supaya setiap isu dapat dibincangkan secara matang dan diselesaikan secara konstruktif.

“Malaysia telah melalui pelbagai cabaran sepanjang sejarahnya, namun negara ini kekal aman kerana rakyatnya memilih jalan perpaduan dan kesederhanaan.

“Saya yakin bahawa dialog ini mampu menjadi satu langkah penting ke arah memperkukuhkan keharmonian antara komuniti serta memastikan Malaysia terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan bersatu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast