PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan segelintir pihak yang terus mempolitikkan isu kenaikan harga minyak, walaupun situasi itu berpunca daripada ketegangan global yang berada di luar kawalan negara.
Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu susulan konflik antarabangsa, semua pihak seharusnya memahami realiti semasa dan tidak mengambil kesempatan untuk menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.
Katanya, kenaikan harga minyak dunia ketika ini berkait rapat dengan perkembangan konflik di Timur Tengah yang turut menjejaskan kemudahan minyak dan gas sekali gus memberi kesan kepada ekonomi global.
“Ada orang lagi guna kesempatan ini dalam keadaan ekonomi jatuh, minyak tersekat. Bukan salah kita, ini masalah perang dunia, tetapi masih ada lagi beberapa orang pembangkang maki hamun kita dalam keadaan sekarang.
“Dunia politik ini kena terkawal. Patut semua pakat cari penyelesaian,” katanya ketika berucap pada program Santai Akhir Ramadan Bersama Pimpinan Komuniti Permatang Pauh di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan sentiasa memantau rapi perkembangan semasa termasuk melalui mesyuarat khas Kabinet dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan langkah sewajarnya diambil untuk melindungi kepentingan rakyat.
Beliau berkata, kerajaan juga mengadakan perbincangan dengan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bagi memastikan bekalan minyak dan gas negara mencukupi.
“Semalam kita mesyuarat Majlis Keselamatan Negara. Hari sebelumnya mesyuarat khas Kabinet. Kita pantau tiap hari. Kerajaan berusaha sedaya upaya mengekalkan kestabilan termasuk mengawal harga bahan api supaya tidak membebankan rakyat, walaupun banyak negara lain berdepan kenaikan mendadak.
“Justeru saya menyeru semua pihak supaya mengamalkan sikap berjimat cermat dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

















Rasanya takda sapa dok maki hamun psl harga minyak kecuali ketua pembangkang dahulu kala yg terkenal dgn jolokan bekas menteri kewangan terbaik asia.