KUALA LUMPUR – Harga minyak sawit dijangka kekal melebihi RM4,450 dalam jangka terdekat ini, dipacu oleh harga tenaga yang tinggi serta jurang harga minyak sawit-gasoil (POGO) yang menggalakkan.
Namun, pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan ketidaktentuan di Timur Tengah meningkatkan turun naik harga mungkin melambatkan import dari pasaran utama, sekali gus mengehadkan kenaikan harga.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia menurun secara bermusim kepada 1.28 juta tan pada Februari, susut 18.5% (-293,000 tan) berbanding Januari.
Penurunan ini terutama disebabkan bilangan hari penuaian yang lebih sedikit akibat bulan yang lebih pendek serta cuti umum Tahun Baharu Cina.
Eksport kekal kukuh pada Februari, merangkumi 88% daripada pengeluaran Malaysia dan menyumbang kepada paras stok yang lebih rendah.
Ini berlaku walaupun eksport mencatatkan penurunan 22.5% bulan ke bulan (-327,000 tan) kepada 1.12 juta tan.
Secara kumulatif, eksport dari Januari hingga Februari meningkat 18.7% (+406,000 tan) kepada 2.58 juta tan, dengan India menyumbang bahagian terbesar kepada peningkatan tersebut.
Katanya, harga minyak sayuran mula menunjukkan aliran menaik pada Mac selepas tempoh penyatuan yang panjang sejak pertengahan 2025, disokong oleh kenaikan harga minyak mentah susulan gangguan logistik di Selat Hormuz serta pengisytiharan force majeure oleh beberapa kilang penapisan minyak utama di Timur Tengah.
Dalam kalangan minyak sayuran utama, minyak sawit menjadi peneraju harga dengan kenaikan 10% sejak tercetusnya konflik pada 27 Februari, kata MPOC.
Sebagai perbandingan, minyak rapeseed meningkat 4%, minyak bunga matahari naik 3%, manakala minyak kacang soya hanya meningkat 1% di pasaran global.
Kenaikan mendadak harga gasoil di pasaran global telah meningkatkan daya saing penggunaan dan campuran biodiesel.
Menurutnya, industri biodiesel Brazil menggesa peningkatan mandat campuran daripada B15 kepada B16, manakala Indonesia sedang memjalankan ujian jalan raya untuk campuran B50 bagi mengurangkan kebergantungan import, walaupun garis masa pelaksanaannya masih belum jelas.
Dalam pada itu, import minyak sawit India pulih dengan ketara dalam dua bulan pertama 2026, meningkat sebanyak 965,000 tan atau 149% kepada 1.6 juta tan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Walaupun minyak kacang soya dari Amerika Selatan diniagakan pada harga setara dengan minyak sawit pada Mac, India dijangka terus mengutamakan import minyak sawit pada Mac dan April berikutan peningkatan mendadak kos pengangkutan.
Perjalanan penghantaran dari Amerika Selatan ke India biasanya mengambil masa 6 hingga 7 minggu, berbanding hanya tujuh hingga 10 hari dari Malaysia.
Harga minyak sayuran yang tinggi, bersama lebihan bekalan makanan ternakan dan bijirin makanan, telah mendorong petani memberi keutamaan kepada penanaman biji bunga matahari dan rapeseed yang mempunyai kandungan minyak sekitar 41% hingga 43%.
Susulan itu, pengeluaran global biji bunga matahari dan rapeseed dijangka meningkat ketara, dengan jumlah gabungan diunjurkan naik sebanyak 6.8 juta tan kepada 149 juta tan bagi tahun pemasaran 2026/27.
Sehubungan itu, harga minyak bunga matahari berkemungkinan berdepan tekanan penurunan dalam beberapa bulan akan datang, dan premium harga semasa mungkin tidak dapat dikekalkan sekiranya unjuran pengeluaran tersebut menjadi kenyataan. – MalaysiaGazette















