LONDON – Bintang sensasi Argentina, Lionel Messi terus mengukuhkan kedudukan sebagai legenda apabila menjaringkan gol ke-900 dalam karier profesionalnya sekali gus menyertai Cristiano Ronaldo dalam kelompok elit bola sepak dunia.
Gol bersejarah itu muncul ketika aksi Inter Miami menentang Nashville SC dalam saingan Piala Juara CONCACAF yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Pencapaian itu juga membolehkan Messi menjadi pemain kedua dalam sejarah bola sepak lelaki yang mencapai angka 900 gol selepas Ronaldo yang terlebih dahulu melakukannya pada tahun 2024.
Lebih mengagumkan, pemain berusia 38 tahun itu mencapai rekod tersebut hanya dalam 1,142 perlawanan hampir 100 perlawanan lebih pantas berbanding Ronaldo.
Sepanjang kariernya, Messi telah menjaringkan sebahagian besar gol bersama FC Barcelona sebanyak 672 gol selain turut menyumbang jaringan bersama Paris Saint-Germain, Inter Miami serta pasukan kebangsaan Argentina.
Namun detik bersejarah itu sedikit tercalar apabila Inter Miami tersingkir daripada kejohanan tersebut menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas agregat terikat. – Agensi
















