[Gambar fail] Aliran trafik ke arah Pantai Timur sesak berikutan warga kota mula pulang ke kampung masing-masing sempena perayaan Aidilfitri ketika tinjauan Malaysia Gazette di Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak. Foto MOHD ADZLAN, 19 MAC 2026.

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat khususnya yang memandu pulang berhari raya agar sentiasa bersabar dan berhemah ketika di jalan raya atau lebuh raya kerana aliran trafik di beberapa laluan utama ketika ini amat sesak.

Atas keprihatinan, baginda sendiri berkenan meninjau dari udara aliran trafik keluar dari Lembah Klang menuju ke Pantai Timur yang mengalami kesesakan semalam berikutan orang ramai mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang.

Sehubungan itu, baginda bertitah agar para pengguna jalan raya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika memandu, selain merancang perjalanan dengan baik bagi mengelak tekanan dan keletihan sepanjang perjalanan jauh.

“Saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya bersabar, mematuhi peraturan lalu lintas serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.

“Keselamatan hendaklah diutamakan agar semua dapat tiba ke destinasi dengan selamat,” titahnya menerusi Kesultanan Pahang.

Dalam masa yang sama, baginda mendoakan agar semua rakyat yang pulang ke kampung halaman dipermudahkan urusan dan selamat tiba untuk menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kegembiraan dan keberkatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast