Pihak polis dan forensik menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

BUTTERWORTH – Kebimbangan seorang suami tidak melihat kelibat isterinya ketika sarapan pagi  membawa kepada penemuan wanita itu ditemui mati dengan kesan tikaman di dada di kediaman mereka diTaman Desa Murni, Sungai Dua di sini, hari ini.

Mangsa, Koay Feu Chuen, 52, yang bekerja sebagai operator kilang ditemui terbaring di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah teres berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi.

Difahamkan, suami mangsa menyedari kejadian itu sebelum mendapati isterinya tidak turun ke bawah seperti kebiasaan untuk menyediakan sarapan.

Lelaki tersebut bertindak memeriksa keadaan isterinya dengan membuka pintu bilik yang berkunci dari dalam sebelum mendapati wanita itu berlumuran darah.

Susulan itu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara bersama pihak forensik melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Pihak polis dikatakan merampas sebilah pisau yang ditemui di lokasi kejadian selain mendapati mangsa merupakan pesakit psikiatri yang masih mendapatkan rawatan.

Difahamkan, tiada unsur jenayah dikesan di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat yang dijadualkan dijalankan di Hospital Seberang Jaya, esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast