NIBONG TEBAL – Kebakaran melibatkan timbunan sampah di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung di sini, awal pagi tadi masih belum dapat dipadamkan sepenuhnya sehingga kini.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 pagi itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dan Sungai Bakap digerakkan ke lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, jentera pertama tiba di tempat kejadian pada jam 5.55 pagi, kira-kira sembilan kilometer dari balai, dengan operasi pemadaman masih berjalan setakat ini.
Katanya, kebakaran melibatkan timbunan sampah dengan anggaran keluasan 100 x 100 kaki persegi dan api masih belum terkawal.

“Operasi pemadaman dan pengawalan sedang giat dijalankan oleh anggota di lokasi.
“Seramai 18 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi itu dengan bantuan beberapa jentera dari BBP Nibong Tebal dan Sungai Bakap.
“Antara jentera digunakan ialah satu LFRT, satu EMRS, satu FRV dari Nibong Tebal serta satu FRT dan satu Water Tanker dari Sungai Bakap,” katanya hari ini.
Tambah beliau, dua unit jengkaut turut digunakan bagi membina ‘fire break’ bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lebih luas.
“Bantuan turut diterima daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Jawi, Nibong Tebal, Valdor dan Parit Buntar dengan jentera pertama tiba pada jam 6.25 pagi,” katanya.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan sehingga kini operasi masih diteruskan,” katanya. – MalaysiaGazette
















