KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kementeriannya sedang memantau rapat kesan kenaikan harga diesel terhadap sektor pengangkutan pelancongan, susulan kebimbangan peningkatan kos operasi dalam kalangan pengusaha.
Beliau mengakui tekanan kos yang mendadak boleh memberi kesan berantai kepada industri pelancongan secara keseluruhan jika tidak ditangani dengan baik.
“Kami amat memahami cabaran yang dihadapi pengusaha, khususnya yang bergantung kepada diesel.
“Jika tidak diuruskan dengan berkesan, ia boleh menjejaskan pelancongan masuk, perniagaan serta kestabilan keseluruhan ekosistem pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, beliau telah menerima maklum balas daripada pelbagai persatuan dan pihak berkepentingan, selain mengarahkan kementerian untuk memulakan rundingan segera dengan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada langkah bersasar termasuk kemungkinan sokongan sementara bagi mengurangkan tekanan jangka pendek.
“Kita sedang meneliti langkah bersifat sementara yang berjangka masa untuk membantu industri menghadapi situasi semasa, yang turut dipengaruhi perkembangan global termasuk di Timur Tengah,” ujar beliau.
Dalam masa sama, beliau menegaskan keperluan memastikan kelestarian jangka panjang sektor pengangkutan pelancongan terus diperkukuh.
“Selain isu kos, kita juga perlu terus meningkatkan piawaian keselamatan, prestasi kenderaan dan mutu perkhidmatan kepada pelawat,” katanya.
Beliau menjelaskan, sebarang langkah yang diperkenalkan akan berteraskan pendekatan ‘menstabilkan dan menaik taraf bagi membantu pengusaha menghadapi cabaran semasa sambil menggalakkan penambahbaikan berperingkat dalam industri.
“Matlamat kita bukan sekadar meredakan kesan segera, tetapi membina sistem pengangkutan pelancongan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” jelas beliau lagi.
Tambahnya, ini termasuk pembaharuan kenderaan, sokongan kewangan yang bersesuaian serta penambahbaikan rangka kerja pengawalseliaan.
Dalam pada itu, King Sing menggesa pemain industri untuk terus bekerjasama rapat dengan kerajaan melalui dialog yang konstruktif.
“Hanya melalui kerjasama, kita dapat menstabilkan sektor ini dan menyediakan asas kukuh bagi menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, semua pihak agar tidak bertindak secara emosional, sebaliknya kekal rasional dalam menghadapi isu berkenaan.
“Kerajaan akan berusaha menyeimbangkan pelbagai kepentingan dan mencari penyelesaian yang munasabah serta boleh dilaksanakan, walaupun ia mungkin tidak memenuhi semua pihak sepenuhnya,” tegas King Sing. – MalaysiaGazette
















