KUALA LUMPUR – Prasarana memberi jaminan operasi rel dan bas kendalian Rapid KL berada pada tahap terkawal dan lancar pada hari pertama Aidilfitri, dengan pemantauan rapi dilaksanakan di stesen-stesen utama.
Presiden Prasarana, Amir Hamdan berkata, hasil tinjauan operasi yang bermula di beberapa laluan utama termasuk sekitar Ampang Park, TRX hingga Pasar Seni menunjukkan perkhidmatan berjalan teratur dengan suasana penumpang yang selesa.
Menurutnya, aliran penumpang pada musim perayaan ini menurun kira-kira 50 peratus berbanding hari biasa, sekali gus membolehkan operasi dikendalikan dengan lebih lancar tanpa kesesakan ketara.
“Setakat ini, kita lihat pergerakan penumpang lebih terkawal dan suasana di stesen juga lebih selesa. Ini membantu memastikan perjalanan pengguna berjalan dengan baik sepanjang musim perayaan,” katanya kepada media selepas sesi tinjauan di Stesen Pasar Seni, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai kira-kira 3,200 kakitangan telah digerakkan bagi memastikan keseluruhan operasi berjalan lancar sepanjang tempoh Hari Raya.
Amir berkata, kekerapan tren ketika ini diselaraskan mengikut tempoh luar waktu puncak dengan purata tujuh minit bagi laluan MRT dan sekitar 10 minit bagi laluan lain.
“Jadual ini akan dikekalkan sehingga hari bekerja sebelum kita kembali kepada operasi waktu puncak bermula Selasa,” ujarnya.
Pada masa sama, Amir yang turun padang meninjau operasi di turut meluangkan masa menyantuni penumpang.
Beliau dilihat beramah mesra selain mengagihkan sampul raya Prasarana kepada pengguna sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari pertama Aidilfitri.

Mengulas mengenai gangguan perkhidmatan yang berlaku bulan lalu, beliau berkata pelan tindakan pemulihan telah disediakan dan diterima, dengan pelaksanaan kini sedang dipantau secara berterusan bagi memastikan isu sama tidak berulang.
Tambahnya, setiap gangguan yang berlaku turut dilaporkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui mekanisme laporan standard dalam tempoh 24 jam, tujuh hari dan 31 hari sebagai sebahagian daripada prosedur pemantauan operasi.
“Ini adalah komitmen kami untuk memastikan tahap perkhidmatan kekal tinggi dan sebarang isu dapat ditangani secara sistematik serta telus,” katanya.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di beberapa stesen utama sekitar pusat bandar mendapati suasana operasi MRT pada hari pertama Aidilfitri berada dalam keadaan terkawal dengan aliran penumpang yang lebih rendah berbanding hari biasa.
Dalam masa sama, kehadiran pelancong asing turut mencuri perhatian apabila ramai dilihat begitu teruja menyaksikan sendiri suasana Aidilfitri di Malaysia.
Rata-rata mereka tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video, khususnya apabila melihat orang ramai tampil anggun dalam persalinan tradisional seperti baju kurung, kebaya dan baju Melayu.

Ada antara pelancong menyifatkan pengalaman tersebut sebagai unik dan berwarna-warni, selain meluahkan kekaguman terhadap kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat Malaysia yang dapat dilihat secara terbuka di ruang awam.
Keadaan yang tidak terlalu sesak turut memberi keselesaan kepada penumpang, membolehkan mereka menikmati perjalanan dalam suasana lebih santai berbanding kebiasaan hari bekerja.
Lebih mencuri perhatian, alunan muzik raya yang dimainkan di beberapa stesen menambahkan lagi kemeriahan, mewujudkan suasana perayaan yang jelas dirasai walaupun berada dalam sistem pengangkutan awam. – MalaysiaGazette
















