Sebahagian warga asing dan pelancong beragama Islam hadir untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 21 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Aidilfitri bukan sekadar sambutan kemenangan selepas sebulan berpuasa, sebaliknya menjadi medan penting untuk umat Islam bangkit daripada ujian dan memperkukuh kesatuan dalam keimanan.

Menerusi teks khutbah Aidilfitri 1447H yang disediakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), umat Islam diingatkan  kejayaan sebenar bukan hanya terletak pada aspek fizikal, tetapi kemenangan rohani yang lahir daripada jiwa yang disucikan.

Khutbah bertajuk “Syawal: Bangkit Dari Ujian, Bersatu Dalam Keimanan”menegaskan Aidilfitri perlu difahami sebagai kesinambungan tarbiah Ramadan, bukan noktah kepada amalan ibadah.

“Maka Aidilfitri bukan semata-mata hari kemenangan fizikal selesai berpuasa, tetapi kemenangan rohani melalui jiwa yang disucikan, fitrah yang dihidupkan, dan ukhwah yang ditautkan semula,” menurut teks khutbah Aidilfitri daripada JAKIM, hari ini.

Khutbah itu turut mengingatkan umat Islam agar tidak menjadikan Ramadan sebagai satu-satunya waktu beribadah, sebaliknya terus mengekalkan ketakwaan sepanjang tahun.

“Takwa itu bukan pakaian bermusim. Takwa ialah identiti orang beriman.

“Jangan biarkan masjid yang dahulunya penuh sesak kembali sepi di esok hari. Jangan biarkan al-Quran kembali berhabuk di rak-rak tinggi,” jelasnya.

Dalam masa sama, umat Islam diseru untuk menghidupkan semangat silaturahim secara sebenar, bukan sekadar melalui media sosial atau ucapan digital yang bersifat sementara.

“Jangan biarkan maaf kita hanya di hujung jari, biarlah ia bermula dari lubuk hati. Dan ketahuilah, perpaduan itu bukan sekadar slogan, tetapi tuntutan iman.

“Ummah yang kuat tidak dibina dengan sindiran dan benci, tetapi dengan kesediaan untuk merendah diri, mengalah demi kebenaran, dan memuliakan silaturahim,” tegas khutbah berkenaan.

Khutbah itu juga menegur budaya menunjuk-nunjuk atau ‘flexing’ yang semakin menular ketika musim perayaan sehingga berpotensi mengguris hati golongan kurang bernasib baik.

“Aidilfitri adalah hari kemenangan jiwa, bukannya pertandingan materialisme. Berbelanjalah mengikut kemampuan, jangan sampai berhutang demi bergaya kerana kemuliaan insan bukan terletak pada zahirnya, tetapi pada nur iman di dadanya,” katanya.

Selain itu, umat Islam diingatkan agar tidak melupakan penderitaan saudara seagama di luar negara, khususnya di Palestin, ketika meraikan Syawal dalam suasana aman.

“Jangan biarkan hiburan Syawal melalaikan kita daripada perjuangan umat Islam sejagat. Jadikan rasa syukur atas keamanan di tanah air sebagai pemacu untuk lebih banyak memberi,” menurut khutbah tersebut.

Khutbah turut menekankan kepentingan menjaga adab termasuk dalam penggunaan media sosial agar tidak mencemarkan kemuliaan Aidilfitri dengan fitnah dan perbuatan sia-sia.

“Media sosial hanyalah alat, jangan biarkan ia meragut keberkatan Syawal kita,” demikian menurut khutbah itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast