Kapal ‘Hantu’ yang berjaya di Ida oleh Datuk AK Thevaraja baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kapal tanpa kru yang pernah menggemparkan perairan Terengganu tahun lalu kini bakal diberi nilai baharu selepas dibeli oleh seorang usahawan tempatan yang melihat potensi besar dalam industri kitar semula logam.

Ahli perniagaan yang juga pemain industri kitar semula logam, Datuk AK Thevaraja mengambil peluang mendapatkan kapal yang digelar ‘kapal hantu’ itu melalui proses lelongan yang dijalankan pihak berkuasa.

Keputusan membeli kapal tersebut dibuat selepas melihat nilai bahan mentah yang terdapat pada struktur kapal berkenaan yang boleh dimanfaatkan semula.

“Kapal seperti ini sebenarnya mempunyai nilai yang tinggi dari sudut bahan-bahannya. Banyak komponen logam, kabel serta peralatan elektrik yang masih boleh dimanfaatkan semula melalui industri kitar semula logam dan e-waste,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Thevaraja percaya nilai bahan mental pada kapal terbiar mampu menjana pulangan lumayan serta memberi manfaat.

Tambahnya, pembelian kapal berkenaan bukan sekadar peluang perniagaan sebaliknya juga satu langkah bagi memastikan aset lama tidak dibiarkan menjadi bangkai kapal yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Menurut Thevaraja, industri kitar semula logam memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan mampan kerana bahan daripada aset lama seperti kapal, mesin industri dan struktur logam boleh diproses semula menjadi bahan mentah baharu.

“Dalam industri ini, keluli, aluminium dan tembaga daripada kapal lama boleh dikitar semula dan digunakan kembali dalam sektor pembinaan, pembuatan serta kejuruteraan,” jelasnya.

Pendekatan tersebut juga selari dengan konsep ekonomi kitaran yang menekankan penggunaan semula bahan bagi mengurangkan pembaziran sumber semula jadi.

“Kita perlu melihat aset lama sebagai sumber yang masih mempunyai nilai. Jika diurus dengan betul, ia bukan sahaja memberi manfaat ekonomi tetapi juga membantu mengurangkan sisa industri,” katanya.

Thevaraja berkata, selepas memperoleh kapal tersebut, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan teknikal menyeluruh bagi mengenal pasti komponen yang boleh digunakan semula atau diproses sebagai bahan kitar semula.

Datuk AK Thevaraja

Menurut beliau, selain struktur logam utama, kapal tersebut juga berpotensi mengandungi pelbagai komponen elektronik, sistem kabel serta peralatan industri yang boleh dimanfaatkan melalui sektor pengurusan sisa elektronik.

Terdahulu, kapal berkenaan menjadi perhatian apabila ditemui hanyut tanpa kru berhampiran kawasan pelantar minyak di perairan Terengganu pada Ogos tahun lalu.

Kehadiran kapal tanpa kru itu menimbulkan kebimbangan kerana ia berpotensi mengancam keselamatan operasi pelantar minyak serta laluan perkapalan di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, dalam satu operasi keselamatan maritim, pasukan khas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menaiki kapal tersebut sebelum ia ditunda keluar dari kawasan berkenaan ke pangkalan di Kemaman untuk tindakan lanjut.

Insiden itu kemudian menarik perhatian ramai selepas kapal tersebut digelar sebagai ‘kapal hantu’ kerana hanyut tanpa sebarang kru di dalamnya.

Menurut Thevaraja, beliau melihat situasi itu sebagai peluang untuk memanfaatkan semula aset tersebut secara bertanggungjawab melalui industri kitar semula.

Tambah beliau, pengurusan aset lama seperti kapal melalui kaedah kitar semula yang sistematik juga dapat membantu mengurangkan pencemaran serta risiko keselamatan jika ia dibiarkan terbiar.

Thevaraja berkata, pihaknya komited memastikan proses pembongkaran serta pemprosesan kapal tersebut dilaksanakan mengikut piawaian keselamatan dan peraturan alam sekitar yang ditetapkan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

‘Kapal hantu’ hanyut di Terengganu berjaya ditunda

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast