KUALA LUMPUR — Gelombang pembelian panik yang mula dikesan dalam kalangan pengguna ketika ketidaktentuan global disifatkan lebih dipacu persepsi dan pengaruh maklumat tidak sahih berbanding keadaan sebenar bekalan.
Pakar Tingkah Laku Pengguna Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Bamini KPD Balakrishnan berkata, fenomena fear of missing out (FOMO) menjadi antara faktor utama yang mendorong orang ramai bertindak membeli secara berlebihan.
Menurut beliau, kebimbangan pengguna sering dipengaruhi spekulasi di media sosial yang memberi gambaran seolah-olah bekalan akan terjejas, mencetuskan tindakan pembelian tidak terkawal.
“Dalam situasi tidak menentu seperti konflik di Asia Barat, ramai bimbang akan terlepas atau kehabisan barangan, walhal bekalan masih terkawal.
“Justeru, penting untuk orang ramai merujuk kepada maklumat sahih daripada saluran rasmi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Dr. Bamini berkata, pembelian panik bukan sahaja memberi tekanan kepada kewangan pengguna malah boleh mencetuskan kesan rantaian kepada pasaran apabila permintaan meningkat secara mendadak.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan kenaikan harga serta kekurangan stok sementara akibat pembelian yang tidak berasaskan keperluan sebenar.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya lebih berdisiplin dalam perbelanjaan dengan mengamalkan langkah asas seperti menyediakan senarai keperluan sebelum membeli serta menyemak stok sedia ada di rumah.
“Pengguna juga perlu mengelak pembelian berlebihan khususnya barangan kering kerana ia boleh membawa kepada pembaziran jika tidak digunakan dalam tempoh sesuai.
“Contohnya, beras boleh rosak atau berkutu jika disimpan terlalu lama,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, beliau mengaitkan isu itu dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat, lebih-lebih lagi apabila ramai masih belum mempunyai simpanan kewangan yang lestari.
Menurut beliau, realiti tersebut menuntut pengguna supaya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan perbelanjaan agar tidak terjebak dengan pembelian impulsif.
Dr. Bamini turut menjelaskan konsep FOMO sering dimanipulasi dalam kempen pemasaran khususnya melalui promosi berasaskan masa terhad yang memberi tekanan kepada pengguna untuk membeli segera.
“Ini adalah strategi yang perlu difahami pengguna. Jangan biarkan tekanan masa mempengaruhi keputusan kewangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pembelian panik boleh memberi kesan kepada komuniti terutama golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang berpendapatan rendah.
“Apabila berlaku pembelian berlebihan, ada pihak lain yang mungkin terjejas dari segi akses kepada barangan keperluan,” katanya.
Justeru, beliau menggesa orang ramai supaya kekal rasional, berbelanja secara berhemah dan mengambil kira kepentingan bersama dalam setiap keputusan pembelian. – MalaysiaGazette
















