KUALA LUMPUR – Seorang mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh pemandu e-hailing yang memotong secara melulu di Kilometer (KM) 0.3 Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) semalam.
Dalam kejadian pukul 5.56 petang, lelaki tempatan berusia 24 tahun itu cedera parah di kepala dan putus tangan kiri serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan mendapati pemandu kereta dari arah Kajang memandu laju sebelum masuk ke susur menuju Ampang secara melulu.
“Kemudian, pemandu e-hailiang berusia 26 tahun itu memotong kenderaan di hadapan lalu merempuh motosikal mangsa yang berada di lorong kanan.
“Susulan itu, lelaki terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan dan telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Naazron, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengakutan Jalan (APJ) 1987.
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara lima hingga 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379, katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengamalkan pemanduan yang berhemah, sentiasa mematuhi peraturan jalan raya serta berhati-hati semasa memandu.
Terdahulu tular di media sosial, rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan detik sebuah motosikal dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta yang dipandu melulu. – MalaysiaGazette
















hukuman seberat berat..pemandu celaka