KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan tenaga negara kekal stabil meskipun ketegangan di rantau Teluk semakin memuncak, dengan pelan alternatif telah digerakkan lebih awal bagi menghadapi sebarang gangguan bekalan global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, syarikat petroleum negara, Petronas telah menyediakan strategi sokongan sekiranya laluan utama seperti Selat Hormuz terjejas akibat konflik berterusan.
Menurutnya, antara langkah utama termasuk mempelbagaikan sumber import tenaga dengan menilai bekalan dari Australia serta beberapa negara di rantau Asia-Pasifik.
“Setakat ini, semua perancangan berjalan lancar dan bekalan tenaga negara masih berada pada tahap terkawal serta stabil,” katanya kepada media di Kuching, Sarawak.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, selain langkah di peringkat industri, kerajaan turut memperketatkan pengurusan penggunaan tenaga di dalam negara.
Katanya, semua pejabat kerajaan telah diarahkan menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius sebagai sebahagian usaha penjimatan tenaga.
“Kerajaan juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan kerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal sebagai langkah tambahan untuk mengurangkan penggunaan tenaga,” ujarnya.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah termasuk memastikan peralatan yang tidak digunakan ditutup sepenuhnya.
Dalam pada itu, Fadillah berkata kerajaan memantau rapat pergerakan harga minyak mentah dunia, khususnya Brent, yang dijangka meningkat dalam tempoh terdekat susulan perkembangan geopolitik semasa.
Menurutnya, kerajaan masih mengekalkan subsidi petrol RON95 bagi melindungi rakyat daripada tekanan kos, walaupun menanggung beban kewangan yang besar.
“Ketika ini kerajaan menanggung subsidi tidak kurang daripada AS$2 bilion sebulan bagi memastikan harga RON95 kekal stabil,” jelasnya.
Manakala ketika mengulas diesel, beliau berkata, mekanisme penyelarasan harga diteruskan mengikut pasaran, namun sektor bersasar seperti logistik masih menerima subsidi bagi mengelakkan kesan kepada rantaian bekalan.
Tambahnya, Sabah dan Sarawak turut terus menikmati subsidi diesel bagi memastikan kestabilan ekonomi serta kos sara hidup rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.
Pada masa sama, beliau mengakui isu penyeludupan bahan api kekal menjadi cabaran berikutan jurang harga dengan negara jiran.
“Perkara ini menyebabkan kerugian kepada negara, justeru penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















