Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Subsidi kerajaan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu susulan kenaikan harga minyak dunia yang dipacu oleh konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu untuk melindungi rakyat negara ini.

Berikutan itu, rakyat dan majoriti peniaga tidak perlu membayar harga sebenar pasaran kerana subsidi ini disalurkan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel.

“Dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu, usaha melindungi kebajikan dan kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan Kerajaan Madani,” kata Anwar dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan rakyat yang mempersoalkan mengapa harga minyak di negara ini turut terkesan susulan konflik di Asia Barat sedangkan Malaysia adalah pengeluar minyak.

Menurut beliau, walaupun Malaysia pengeluar minyak, negara ini sebenarnya mengimport lebih banyak minyak daripada yang dieksport.

Jelas beliau lagi, Selat Hormuz adalah laluan utama minyak dunia, terjejas akibat konflik ini dan apabila laluan ini terganggu, bekalan minyak dunia menjadi terhad dan harga melonjak.

“Malaysia turut terkesan kerana hampir 50 peratus bekalan minyak negara melalui Selat Hormuz,” tambah perdana menteri lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast