Seorang pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari diiring pegawai penjara tiba bagi sebutan dua pertuduhan cubaan membunuh isterinya dan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang pengawal peribadi di KLIA 1, di Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 06 MEI 2025 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Bekas pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari diperintah oleh Mahkamah Sesyen Sepang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan cuba membunuh bekas isterinya, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun terhadapnya kerana menyebabkan cedera parah ke atas Mohd Nur Hadith Zaini, 38, (pengawal peribadi bekas isterinya) menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian.

Hafizul, 39, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berkuat kuasa serentak.

Ini bermakna, tertuduh hanya dipenjara tujuh tahun.

Namun, Ahmad Fuad mengarahkan hukuman itu dijalankan  selepas dia selesai menjalani hukuman bagi kes berbeza yang dihadapinya di Kelantan.

Pada 24 Februari tahun lalu, Hafizul dihukum penjara 14 tahun enam bulan dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

Di Sepang, Hafizul mengaku bersalah atas pertuduhan cuba membunuh Farah Md. Isa, 39, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 1.09 pagi, 14 April 2024.

Bapa dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika menyebabkan kecederaan, penjara maksimum 20 tahun.

Bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi bekas isterinya, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, Hafizul Hawari 38, yang memakai baju lokap berwarna hitam dan berpelitup muka dikawal ketat anggota Bahagian Siasatan khas (D9) di Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 25 APRIL 2024. (GAMBAR FAIL)

Dalam penghakiman bertulis bertarikh 14 Mac lalu, Ahmad Fuad menyatakan, Hafizul memahami sifat dan akibat pengakuan bersalah yang dibuatnya serta memahami bahawa perbicaraan tidak akan diteruskan ekoran pengakuan tersebut.

“Mahkamah sekali lagi bertanya dan tertuduh tetap mengaku bersalah. Mahkamah turut berpuas hati bahawa pengakuan itu dibuat secara sukarela, tidak dipaksa sesiapa atau tertakluk kepada apa-apa syarat.

“Selepas berpuas hati dengan pengakuannya, mahkamah meminta pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman terhadapnya,” ujar Ahmad Fuad dalam penghakiman setebal 12 muka surat yang diperoleh MalaysiaGazette dari lawan web mahkamah.

Penghakiman bertulis yang dimuat naik pada 16 Mac lalu turut menyatakan bahawa pihak pembelaan mengemukakan hujahan bahawa Hafizul menghidap simptom gangguan mental seperti keresahan melampau dan kemurungan sebelum kejadian berlaku.

Menurut pembelaan, simptom itu dipercayai berkaitan tekanan yang dialaminya manakala tertuduh telah menjalani diagnosis kesihatan, namun keputusan rasmi belum diperoleh (ketika itu).

“Hukuman berat seperti pemenjaraan dengan tempoh yang lama mahupun denda yang tinggi boleh memburukkan keadaan kesihatan mentalnya.

“Ia akan menyebabkan anak guam lebih terdedah kepada masalah kesihatan yang lain dan mungkin mencederakan diri sendiri kelak akibat tekanan yang dialami,” hujah peguam.

Penghakiman itu turut menyatakan, peguam bela berhujah, tertuduh telah mengambil inisiatif untuk merawat diri melalui kaedah perubatan Islam bagi mengubati tekanan seperti yang dicadangkan bekas isteri sebelum kejadian berlaku.

Hujah peguam, tindakan itu membuktikan Hafizul sedar keadaan kesihatan mentalnya dan berusaha untuk pulih.

“Tertuduh mendapat pendidikan agama di Maahad Tahfiz di Kelantan bermula dari sekolah rendah sehingga ke sekolah menengah. Oleh itu, dia mempunyai asas moral dan etika yang kuat, dan kesalahan yang dilakukan bukan mencerminkan peribadinya,” hujah peguam.

Menurut penghakiman tersebut, peguam bela turut memohon hukumah berkuat kuasa serentak dengan kes di Kota Bharu kerana berlaku pada masa yang sama.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menghujahkan kes di Kota Bharu dan Sepang adalah berbeza kerana di sana, tertuduh didakwa memiliki senjata api, kad pengenalan orang lain dan menggunakan plat kereta palsu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast