KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menyifatkan segala cercaan yang dilontarkan kepada beliau menjadikannya lebih kuat membaca dan menulis supaya ilmu dapat disebar kepada masyarakat.
Malah, beliau turut menyifatkan kata-kata kesat yang dilontarkan kepadanya sebagai antara pengalaman menarik sepanjang menjadi mufti.
Katanya, segala cacian itu juga mengajar beliau menjadi kuat selain dapat memahami perasaan dan mental sebahagian masyarakat yang tidak sihat.
Namun, ujarnya, beliau akan sentiasa terus bekerja untuk umat dan negara, supaya mendapat pahala yang besar di sisi Allah SWT dan dapat bersama dengan Rasulullah SAW di negara abadi.
Terdahulu, menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini, Ahmad Fauwaz berkongsi cercaan yang diterimanya di dalam media sosial antaranya yang menggelarkan beliau sebagai `mufti haprak’.
“Alhamdulillah saya diajar oleh al-Quran sentiasa memaafkan orang yang memaki walaupun mereka tidak memohon maaf kerana saya sayangkan umat Islam.
“Musuh saya adalah mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya.
“Saya sentiasa sedekahkan segala cercaan pelbagai pihak kepada saya walaupun orang pernah dekat dengan saya kerana ia adalah asam garam di dalam menerangkan kebenaran ilmu,” katanya. – MalaysiaGazette
















