KUALA LUMPUR – Pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong melancarkan serangan terbuka terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli apabila mendakwa bekas Menteri Ekonomi itu sebagai antara menteri paling gagal dalam kerajaan.
Dakwa beliau, sepanjang tempoh hampir tiga tahun sejak dilantik pada Disember 2022 hingga meletak jawatan pada Jun 2025, Rafizi gagal menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) selain tidak membawa sebarang reformasi ekonomi yang signifikan.
“Formula beliau buat hanya sembang sahaja, hanya cakap besar. Rafizi seorang yang gagal, dan tak tunaikan apa yang dicakap. Beliau seorang yang hanya tahu hentam Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, prestasi Rafizi bukan sahaja mengecewakan, malah sekadar retorik tanpa hasil yang jelas kepada rakyat.
Katanya, pelbagai formula ekonomi yang diumumkan sebelum ini juga didakwa tidak pernah dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keupayaan sebenar beliau sebagai menteri.
“Sekarang apabila sokongan tidak berpihak kepadanya, beliau banyak ‘bercakap’, sedangkan Perdana Menteri merangkap Presiden PKR sehingga hari ini hanya berdiam tidak membuat kritikan balas kepada Rafizi,” katanya.
Lum Yong turut mempertikaikan kelayakan Rafizi untuk terus berada dalam landskap politik negara, malah mendakwa beliau tidak menunjukkan ciri kepimpinan sebenar.
“Rafizi seorang yang tidak jujur dan hanya untuk kepentingan diri sendiri. Beliau tidak layak menjadi pemimpin yang setia kepada rakyat.
“Kritikan Rafizi akan membawa kesan negatif kepada rakyat. Rafizi sudah hilang arah, sekarang dia jadi alat yang tahu kritik Anwar,” katanya.
Sebelum ini, aktivis politik, Faizan Mohd Nor, menyifatkan Rafizi sebagai menteri paling hipokrit apabila membuat pelbagai pertuduhan negatif terhadap banyak syarikat korporat yang didakwa bermasalah kini, sedangkan beliau tidak pernah bersuara mengenai syarikat sama sewaktu memegang jawatan menteri.
Faizan menegaskan dalam tempoh hampir tiga tahun Rafizi memegang jawatan Menteri Ekonomi, banyak syarikat yang didakwa bermasalah telah menerima kontrak baharu atau sambungan kontrak jangka panjang. – MalaysiaGazette
















