Koperal Mohd Fairus Khamis disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 pagi selepas lebih sembilan bulan bertarung nyawa susulan kecederaan parah

SEREMBAN –  Seorang anggota polis yang koma sejak terlibat dalam kemalangan langgar lari tahun lalu meninggal dunia di kediamannya di Bandar Sri Sendayan, pagi tadi.

Koperal Mohd Fairus Khamis disahkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.10 pagi selepas lebih sembilan bulan bertarung nyawa susulan kecederaan parah dialaminya dalam nahas pada 2 Jun 2025.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, beliau bersama Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff serta seluruh warga kontinjen negeri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh,” tulisnya dalam Facebook sebentar tadi.

Allahyarham yang bertugas sebagai Pegawai Rendah Polis di Bahagian Tugas Am, Balai Polis Rahang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebelum ini dilaporkan koma selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Bukit Nenas, Sendayan.

Akibat kejadian itu, beliau mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang rusuk serta pendarahan dalaman di kepala, sekali gus memerlukan rawatan rapi dan pemantauan berterusan.

Sepanjang tempoh tersebut, Allahyarham dilaporkan menjalani beberapa siri pembedahan di kepala bagi mengeluarkan cecair, namun tidak pernah sedarkan diri sejak insiden berkenaan.

Dalam pada itu, kematian Allahyarham turut mengundang persoalan apabila individu yang terlibat dalam kejadian langgar lari tersebut masih belum dikenal pasti atau tampil membantu siasatan setakat ini.

Kes berkenaan sebelum ini dilaporkan sebagai kemalangan langgar lari dan siasatan lanjut masih dijalankan pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast