Anwar Ibrahim bercakap melalui telefon bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain hari ini.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berkesempatan mengadakan perbualan telefon bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan serta Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Salman bin Hamad Al Khalifa.

Menurutnya, perbualan itu dimulakan dengan pertukaran ucapan Aidilfitri sambil mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat seluruh rakyat di kedua-dua negara.

Katanya, perbualan turut menjurus kepada perkembangan semasa di Asia Barat yang kian meruncing.

“Saya menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan yang berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat.

”Juga menyampaikan takziah atas kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat daripada serangan balas yang berlaku,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Dalam pada itu, kata Anwar, Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian mesti ditangani melalui jalan damai.

“Dialog, diplomasi dan kerjasama erat antara negara adalah satu-satunya jalan ke hadapan bagi meredakan ketegangan dan mengembalikan kestabilan, selaras dengan tuntutan kemanusiaan dan prinsip keadilan sejagat,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast