KUANTAN – Operasi pemadaman kebakaran kawasan hutan dan ladang kelapa sawit di daerah Pekan dan Kuala Rompin memasuki hari kedua hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dilaporkan telah berjaya mengawal kebakaran seluas 48 hektar daripada 150 hektar yang terbakar di kawasan hutan di Nenasi, Pekan.
Manakala, bagi kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Jemeri, Kuala Rompin pula seluas 6.07 hektar daripada kira-kira 292 hektar yang terbakar berjaya dikawal setakat petang tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Tok Muda Wan Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman berkata, operasi melibatkan seramai 21 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nenasi dan tujuh anggota bomba daripada BBP Kuala Rompin.

“Pasukan bomba mengalami cabaran utama iaitu kekangan akses ke lokasi kebakaran di kawasan hutan di Nenasi, Pekan yang menyukarkan pergerakan jentera dan anggota operasi.
“Oleh itu, pihak JBPM telah memohon bantuan Unit Udara Bomba bagi mempercepat operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi pemadaman di kedua-dua lokasi dilakukan secara dua kumpulan, masing-masing menggunakan satu unit pam angkut dengan hos sepanjang 600 kaki, breeching dan dua pancutan dengan sumber air terbuka.
Operasi pemadaman turut mendapat bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lima orang pekerja ladang, jengkaut, pam air dan traktor.

“Setakat ini, tiada mangsa terlibat dan operasi pemadaman masih diteruskan dan dalam keadaan terkawal secara berperingkat di kedua-dua lokasi,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati orang awam agar tidak melakukan secara terbuka dan segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran melalui talian kecemasan 999. – MalaysiaGazette
















