KUALA LANGAT – Tiga penganggur ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video tular di media sosial kerana disyaki bergaduh bersenjatakan parang dan kayu di Jalan Waja, Telok Panglima Garang, di sini, pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan mengenai insiden itu jam 2.51 petang.
“Semasa pengadu berada di rumah di Jalan Waja, Telok Panglima Garang, Selangor, pengadu terdengar bunyi bising di hadapan rumah.
“Pengadu keluar dan mendapati bapa saudaranya memegang sebilah parang serta dikepung beberapa individu tidak dikenali yang cuba memukulnya.
“Pengadu telah menghubungi pihak polis, namun suspek melarikan diri sebelum pihak polis tiba di tempat kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu klip video berdurasi 30 saat tular di aplikasi WhatsApp memaparkan seorang lelaki yang memakai topi keledar berwarna putih menghayun sebilah parang ke arah dua penunggang motosikal dipercayai menyerang menggunakan kayu.
Turut kelihatan dalam klip video itu tiga lelaki yang berada berhampiran dan cuba mendekati mangsa dengan bersenjatakan disyaki sebatang kayu.
Mohd Sufian berkata, bagaimanapun ketiga-tiga lelaki terbabit yang berusia antara 39 hingga 45 tahun itu ditangkap dan barang kes telah dirampas.
“Usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh pihak polis,” katanya.
Katanya lagi, polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















