Aktivis Pas, Lokman Bonyamin
Aktivis Pas, Lokman Bonyamin

MELAKA – Hasrat seorang lelaki untuk ziarah raya ke rumah jirannya di Krubong, Melaka, bertukar pilu apabila terhidu bau busuk yang kemudiannya membongkar kematian mangsa dipercayai sejak lebih tiga hari lalu.

Kejadian disedari kira-kira jam 4 petang semalam di sebuah unit rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini apabila mangsa lelaki berusia 45 tahun yang tinggal bersendirian ditemukan tidak bernyawa.

Jirannya, Suffian Abdul Majid, 52, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas ada jiran lain datang ke rumah tersebut di tingkat lapan PPR untuk beraya, namun mangsa tidak membalas salam walaupun kasutnya berada di luar rumah.

“Jiran itu kemudian memanggil saya dan memberitahu terdapat bau kurang menyenangkan dari dalam rumah sebelum meminta saya membuat pemeriksaan.

“Selepas berdiri di hadapan rumahnya, bau kurang menyenangkan itu memang kuat, selain terdapat lalat keluar dari celahan bawah pintu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, perasaan curiga bertambah apabila dia mendapati motosikal jirannya yang mempunyai penyakit ‘tiga serangkai’ iaitu kencing manis, darah tinggi dan jantung berada di bawah blok PPR berkenaan.

“Bimbang sesuatu yang buruk, saya segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan kerana mangsa memang tinggal seorang diri selepas berpisah dengan isterinya.

“Kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa, berkemungkinan mangsa telah meninggal dunia kira-kira empat hari berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung,” tambahnya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.10 petang sebelum sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan berjaya membuka pintu yang berkunci dan menemukan seorang lelaki telah meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast