Kakitangan sedang memantau pergerakan angin Pusat Ramalan Kaji Cuaca di Jabatan Meteorologi Malaysia.

KUALA LUMPUR – Fasa peralihan monsun dijangka bermula pada 29 Mac 2026 dan berterusan sehingga Mei 2026.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang telah bermula sejak 13 November 2025.

Katanya, semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

Keadaan ini menggalakkan pembentukan awan ribut petir,  lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam tempoh masa singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast