Straits of Hormuz

TEHRAN – Iran membenarkan “kapal yang tidak bermusuhan” dengannya melalui Selat Hormuz.

Bagaimanapun, katanya, kapal-kapal berkenaan mestilah mematuhi peraturan keselamatan dan sekuriti dengan penyelarasan pihak berkuasa berkaitan, menurut kenyataan yang diserahkan kepada International Maritime Organization (IMO).

“Kapal yang tidak bermusuhan… boleh dengan syarat tidak terlibat atau menyokong sebarang tindakan pencerobohan terhadap Iran serta mematuhi sepenuhnya peraturan keselamatan dan sekuriti yang ditetapkan menikmati laluan selamat melalui Selat Hormuz dengan penyelarasan pihak berkuasa berkenaan,” menurut kenyataan itu.

IMO pada Selasa memaklumkan kenyataan rasmi bertarikh Ahad itu dikeluarkan oleh Kementerian Luar Iran dengan permintaan supaya ia diedarkan oleh IMO.

IMO turut berkongsi kenyataan itu dengan negara anggota dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Kenyataan itu menegaskan “peralatan kapal dan sebarang aset milik pihak penyerang – iaitu Amerika Syarikat dan rejim Israel -serta peserta lain yang terlibat dalam pencerobohan terhadap negara Iran tidak layak untuk laluan yang tidak bersalah atau tidak bermusuhan”.

Menurutnya, tanggungjawab terhadap “sebarang gangguan, ketidakselamatan atau peningkatan risiko di laluan perairan kritikal ini” terletak pada Amerika Syarikat dan Israel, yang dituduh melancarkan “perang tidak sah dan menggugat kestabilan terhadap Iran”.

Kedua-dua negara itu, katanya, telah “membahayakan keamanan dan kestabilan serantau serta mendedahkan perkapalan antarabangsa kepada ancaman yang belum pernah berlaku sebelum ini”.

Iran hampir menutup sepenuhnya selat penting itu sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel yang mencetuskan perang pada 28 Februari, sekali gus menyebabkan harga minyak dan gas global melonjak. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast