Gambar kereta mangsa yang kemalangan ihsan IPD Rompin

KUANTAN – Seorang lelaki orang asli maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar sebuah lori di kilometer 119.5 Jalan Kuantan – Johor Bahru.

Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.54 pagi tadi semasa mangsa dan anak saudaranya dalam perjalanan dari arah Nenasi menghala ke Batu 3, Rompin.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Ia menyebabkan perlanggaran dengan sebuah lori Hino dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah Johor Bahru hendak ke Pekan,” katanya dalam kenyataan.

Gambar lori yang dilanggar kereta mangsa di Rompin

Berikutan itu, katanya, mangsa bernama Mupais a/l Razali yang beralamat di Perkampungan Orang Asli Batu 5, Rompin dilaporkan maut di tempat kejadian.

Manakala, anak saudara mangsa yang berusia 19 tahun pula tidak mengalami kecederaan.

Sharif Shai berkata, hasil siasatan awal turut mendapati, mangsa tidak mempunyai lesen memandu yang sah, manakala pemandu lori terbabit pula mempunyai rekod empat saman pelbagai kesalahan yang belum dijelaskan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast