KUALA LUMPUR – Pemimpin politik khususnya ahli Parlimen kerajaan diingatkan tidak mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) hingga menghalang tindakan penguatkuasaan undang-undang di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pemimpin kerajaan bertanggungjawab untuk memberi sokongan supaya agensi penguatkuasaan bertindak dengan berani dan bukan sekerat jalan.
“Tindakan harus tegas, tidak kira dari kelompok mana dan jangan ada campur tangan menghalang tindakan PDRM dan badan-badan penguat kuasa. Tugas kita bukan campur aduk dalam tindakan diambil, tetapi memberi laluan besar.
“Apa makna sambutan Hari Polis kalau tiada usaha bersama untuk mengangkat martabat, integriti, profesionalisme serta memastikan Malaysia sebagai negara merdeka, dikenali sebagai negara yang bertindak secara telus dan adil.
“Membersihkan saki-baki jenayah, kerana kadang-kala secara langsung dan tidak, yang melindungi itu orang-orang yang berpengaruh, ini mempersulitkan kerja PDRM,” katanya berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL), di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Perdana Menteri juga berkata, undang-undang tidak boleh dirangka oleh satu pihak yang memihak kepada kelompok tertentu sama ada mereka yang berkuasa mahupun mempunyai harta.
“Ini kerana mereka boleh mempengaruhi sistem dan perundangan. Itu peringatan kepada semua yang dianggap penggubal, kerana PDRM secara langsung tidak terlibat dalam memahami, memperkenal dan melaksanakan undang-undang.
“Merangka dan terus membawa perubahan supaya undang-undang kita itu terus matang, benar-benar menjiwai hasrat negara merdeka dan berdaulat, mempertahankan prinsip keadilan sejagat.
“Kalau benar kita mahu bertindak, kita juga memberi nasihat kepada semua yang lain, percayalah negara ini harus aman, gagah kalau kita memberikan mesej yang jelas,” katanya.
Kata Perdana Menteri lagi, Malaysia harus sentiasa melihat keperluan mewujudkan bentuk perundangan dan langkah-langkah baharu supaya undang-undang itu dapat menjamin tertegaknya negara hukum.
“Undang-undang yang saya maksudkan ini melibatkan juga pelaksanaannya, kecekapan pengurusannya, seperti mana kita bicara dulu, pertamanya kita harus ada just laws, undang-undang itu mesti dilihat adil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















