Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

SHAH ALAM – Polis Selangor menafikan penglibatan Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam penganjuran Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 yang tular melalui mesej hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata mesej yang mendakwa majlis itu akan diadakan di Dewan Serbaguna IPK Selangor esok, serta melibatkan kutipan sumbangan ke akaun MBSB Bank atas nama Norfadilah Md Nor adalah tidak benar.

“Perkara ini satu cubaan penipuan (scam) yang bertujuan mengaut keuntungan serta mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terperdaya dengan mesej berkenaan dan tidak melakukan sebarang transaksi ke akaun yang dinyatakan.

Beliau turut meminta individu yang telah membuat sumbangan tampil membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

“Tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan nama jabatan atau identiti PDRM bagi tujuan penipuan,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast